![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh2DPZtC2aAYKEgsh1Adfyx4gkdymc_vRbIYCpyVITvmhiYwBhFD23m9HOKThbDdDU6wIIBAcw60QDAzVl4WaA5dtUHYc3N6UHAOY5I_9pS179TNWtArHf4IOIOgX_O5slKM_sY11dmaiI/s400/ne_01.1.jpg)
SEKUMPULAN warga Indonesia yang bersenjatakan buluh runcing menahan kenderaan untuk mencari rakyat Malaysia di Jakarta kelmarin.
PUTRAJAYA - Kerajaan Indonesia telah memberi jaminan akan memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin berikutan terdapat sekumpulan penunjuk perasaan bersenjata buluh runcing di republik itu yang mahu mengusir rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu telah disampaikan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar kepada beliau dalam pertemuan mereka tengah hari semalam.
"Saya dah sampaikan kepada Pak Try Sutrisno (Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka Indonesia Tan Sri Try Sutrisno) mengenai kebimbangan Malaysia terhadap keselamatan rakyatnya dan beliau berjanji untuk sampaikan kepada pemerintah Indonesia.
"Duta Besar Indonesia dalam pertemuan tengah hari tadi (semalam) telah memberitahu bahawa mereka sedang mengambil tindakan untuk memastikan tidak ada apa-apa berlaku kepada rakyat Malaysia,'' katanya selepas majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri di kediaman rasminya di sini.
Beliau diminta mengulas tindakan sekumpulan penunjuk perasaan bersenjata buluh runcing menahan kenderaan di Jalan Diponegoro, Jakarta dalam gerakan yang dipanggil Sweeping Malaysia (Sapu Malaysia) bagi mencari dan mengusir rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment